HIDUNG BERDARAH
LUKA PADA LAPISAN MEMBRAN MUKOSA
PENDARAHAN hidung mungkin dianggap masalah biasa, terutama di kalangan kanak-kanak, tetapi masalah ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia mungkin memberi petanda seseorang itu menghidap penyakit lain yang lebih kronik.

Hidung berdarah boleh disebabkan pelbagai penyakit termasuk penyakit hidung, sinus, darah tinggi, demam denggi dan penyakit darah.

Namun, biasanya pendarahan hidung berlaku akibat luka pada lapisan dalam hidung.

Permukaan dalaman hidung dilapisi membran mukosa (lapisan lembap yang menggalas struktur berongga seperti saluran pernafasan) supaya kulit sentiasa lembap.

Membran mukosa ini mempunyai banyak salur darah yang sensitif dan mudah luka. Kedudukan hidung di tengah muka juga menyebabkan ia sentiasa terdedah kepada risiko trauma seperti hentakan apabila terjatuh, dipukul atau berlaku kemalangan jalan raya.

Pendarahan hidung boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu anterior (pendarahan bermula pada bahagian septum iaitu dinding yang memisahkan dua lubang pada hidung). Septum mempunyai banyak salur darah yang mudah luka apabila kita menghembuskan nafas terlalu kuat atau terkena objek tajam seperti hujung kuku. Darah akan mengalir keluar melalui satu daripada lubang hidung.

Pendarahan hidung anterior juga boleh disebabkan cuaca terlalu panas dan kering. Kekeringan membran hidung (lapisan luar dalam hidung) akan menyebabkan ia retak, menggelupas dan berdarah seperti yang biasa berlaku pada kanak-kanak.

Jenis kedua ialah pendarahan posterior (pendarahan boleh bermula di bahagian hidung paling dalam yang mengalir ke mulut dan tekak ketika pesakit berdiri atau duduk. Bagaimanapun jenis ini jarang berlaku).

Pakar Perunding Hidung, Telinga dan Tekak, Dr Mohamad Hamzah, berkata punca pendarahan hidung boleh dibahagikan kepada empat iaitu:

Trauma
Trauma kecil berlaku apabila seseorang mengorek hidung dengan kuku tajam atau jari pada mukosa hidung yang radang. Ia juga terjadi apabila seseorang itu bersin dengan kuat.

Trauma membawa kepada luka pada lapisan membran hidung yang kaya dengan saluran darah.

Tahap pendarahan bergantung kepada saiz dan jenis pembuluh darah terbabit. Jika satu arteri besar seperti yang terbabit, maka pendarahan menjadi serius dan tidak terkawal.

Penyakit hidung
Rinitis ialah penyakit dalam rongga hidung yang berlaku akibat radang pada membran mukosa yang diserang virus atau bakteria atau sebagai satu tindak balas kepada alahan. Hingus yang keras dan melekat pada membran mukosa akan menyebabkan luka bila hidung dikorek. Perkara ini kerap berlaku kepada kanak-kanak.

Pendarahan biasanya sedikit dan berhenti dengan sendiri, tetapi boleh berulang. Pendarahan boleh dicegah dengan mengubati penyakit rinitis.

Kadangkala penyakit resdung juga boleh menyebabkan pendarahan. Begitu juga lapisan mukosa hidung yang terlalu kering akibat udara terlalu panas atau terlalu sejuk.

Sinus, kanser hidung dan nasofarinks
Kanser nasofarinks (pangkal hidung) kerap berlaku di Malaysia, terutama kepada masyarakat keturunan Cina. Simptom paling biasa ialah hidung berdarah, terutama kepada mereka yang menjangkau umur empat atau lima puluhan ke atas.

Kanser rongga hidung dan sinus yang juga boleh mengakibatkan pendarahan hidung ialah sejenis ketumbuhan di pangkal hidung yang boleh berlaku kepada kanak-kanak lelaki berumur belasan tahun yang boleh berdarah dengan banyak.

Penyakit lain
Sesetengah pesakit berumur yang menghidap darah tinggi mengalami pendarahan hidung. Pendarahan juga berlaku kerana pembuluh darah tidak mengecut disebabkan penyakit darah. Ada pelbagai penyakit darah seperti myeloma, leukemia dan limfoma boleh menyebabkan pendarahan.

Kanak-kanak yang hidungnya sentiasa berhingus serta gatal mungkin berpunca daripada penyakit rinitis.

Namun, katanya, orang dewasa yang sering mengalami hidung berdarah mungkin disebabkan penyakit lebih serius seperti kanser nasofarinks atau kanser sinus.

Kesan sampingan ubat-ubatan
Penggunaan ubat seperti aspirin, warfarin dan ubat antikeradangan bukan steroid (NSAIDs) boleh menyebabkan pendarahan. Rawatan kecemasan hidung berdarah perlu dilakukan segera untuk memberhentikan pendarahan dan mencari puncanya.

Ini sebabnya pendarahan hidung tidak boleh dipandang ringan kerana ia mungkin berkait dengan penyakit serius dan berbahaya. Sesiapa yang ada masalah hidung berdarah perlu segera berjumpa doktor untuk mengetahui sebab pendarahan.

Antara maklumat diperlukan ialah kuantiti darah (sedikit atau banyak) setiap kali mengalami pendarahan, berdarah dari lubang hidung kiri, kanan atau kedua-duanya," katanya.

Selain itu, doktor perlu mengetahui sama ada pendarahan keluar melalui lubang hidung atau keluar melalui belakang hidung dan terus masuk ke mulut. Pendarahan akan berhenti dalam masa beberapa minit atau terus berdarah tanpa henti. Pendarahan berlaku buat pertama kali atau sudah sebaliknya.

Jika berdepan pesakit hidung berdarah, antara langkah rawatan kecemasan yang perlu diambil ialah:

Dr Mohamad berkata, dalam kebanyakan kes pendarahan akan berhenti selepas tindakan di atas. Jika pendarahan masih berterusan, segera bawa pesakit ke hospital.

Katanya, langkah seterusnya dilakukan di hospital atau klinik ialah memberi resusitasi kepada pesakit dan melakukan pemeriksaan endoskopi hidung untuk mencari tempat dan saiz pendarahan serta puncanya.

Langkah ini mungkin memerlukan pemeriksaan lanjut seperti pemeriksaan fizikal pesakit, tekanan darah, ujian darah dan pemeriksaan radiologi, jika perlu.

Larangan untuk pesakit hidung berdarah sehingga betul-betul pulih:

Untuk mengelak pendarahan hidung berulang, pastikan anda tidak: